Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Md. Khairi Selamat berkata, ketika ini indeks air Sungai Klang berada pada tahap 68 peratus dan memerlukan sedikit tambahan nilai bagi mencapai bacaan air bersih iaitu 76 peratus.

Jelasnya, pelbagai usaha dijalankan bagi mencapai sasaran itu, termasuk pelaksanaan Program Jangkauan Awam (RoLPOP) yang sudah memasuki fasa kelima.

“Masalah besar kita adalah pembuangan sampah ke dalam sungai. Sungguhpun JPS mengambil pelbagai inisiatif untuk membersih dan merawat air sungai terbabit, ia masih memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak.

“RoLPOP membabitkan komuniti tempatan yang bertujuan mendidik mengenai kejuruteraan dalam pemulihan dan pengindahan su­ngai,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi RoLPOP 5 Walk-Learn-Share di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, program ter­sebut membabitkan lebih 50 peserta terdiri daripada pelajar, orang ramai dan komuniti tempatan.

Sesi lawatan yang bermula dari Pasar Seni itu menyaksikan para peserta mempelajari maklumat me­ngenai RoL termasuk sistem interseptor, kolam dan koridor biru.

Pada acara kemuncak akti­viti, peserta berpeluang menguji kualiti dan menyentuh air sungai yang bersih di kolam koridor biru.

RoL yang mula menjalani pro­ses pembinaan pada tahun 2011 adalah projek permulaan Greater Kuala Lumpur di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bertujuan mentransformasikan Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi kawasan pinggiran su­ngai berdaya maju serta memiliki nilai ekonomi tinggi.

Kerja-kerja pembersihan su- ­ngai yang menjadi skop utama projek tersebut menelan belanja seba­nyak RM4.2 bilion dan meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Su­ngai Batu, Sungai Jinjang, Su­ngai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Su­ngai Klang dan Sungai Ke­­rayong sepanjang 110 kilo­meter.