Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Yatela Zai­nal Abidin berkata, peruntukan RM40,000 disalurkan bagi kos penyelenggaraan laluan itu selama lima tahun bermula Julai tahun lalu.

“Dalam tempoh itu, YSD bertanggungjawab untuk memastikan laluan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan kepada orang awam.

“Laluan sepanjang satu kilometer yang diberi nama ‘Salleh Trail’ itu adalah sebagai pengiktarafan terhadap bekas presiden KDCFR iaitu Tan Sri Salleh Mohd. Nor yang memainkan peranan besar dalam penjagaan alam sekitar.

“Selain itu, projek berkenaan merupakan langkah bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan beriadah bersama keluarga,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran ‘Salleh Trail’, di sini baru-baru ini.

Tambah Yatela, orang ramai yang meminati sukan mendaki atau berbasikal boleh mencuba aktiviti itu di laluan yang sudah kembali dibuka itu.

“Kami teruja apabila mewujudkan satu lagi cara untuk menarik orang ramai melawat hutan simpan dengan melakukan aktiviti luar yang menyihatkan di samping meningkatkan keseda­ran masyarakat mengenai kepentingan ruang hijau di kawasan bandar.

“Menjaga keindahan alam sekitar ini penting agar ia sentiasa kekal untuk generasi akan datang,” katanya lagi.