Keistimewaan itu adalah tarikan utama kepada orang ramai yang tidak pernah ‘putus’ membanjiri tapak jualan yang mula dibuka pada setiap Rabu dari pukul 5 petang hingga 1 pagi.

Namun pasar malam itu agak kurang dikunjungi masyarakat Melayu kerana dibuka sebagai pasar malam kaum Cina.

Di celah-celah bazar perniagaan itu, gerai milik pasangan Nor Azliyati Awang @ Man dan suami, Norazman Ibrahim merupakan antara yang paling popular kerana menjadi satu-satunya peniaga Melayu di situ.

Nor Azliyati dan Norazman yang masing-masing berusia 48 berkata, mereka mula berniaga di pasar malam berkenaan sejak November tahun lalu selepas ditawarkan oleh seorang rakan berbangsa Cina untuk berniaga bersamanya.

“Saya mengambil peluang itu walaupun pada awalnya tidak begitu yakin kerana dikelilingi oleh masyarakat kaum Cina dan tidak mempunyai ramai pe­ngunjung Melayu.

“Namun sangkaan saya itu meleset kerana nasi lemak yang saya jual mendapat sambutan yang sa­ngat baik daripada pe­ngunjung,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pasar berkenaan baru-baru ini.

Bekas kakitangan bank itu berkata, berkat kegigihan berniaga, hidangan Nasi Lemak Lima Sudu yang dijual di pasar malam itu terjual hampir 300 bungkus sehari.

Selain di Taman Connaught, mereka turut berniaga di lima pasar malam lain di sekitar Kuala Lumpur.

“Rata-rata pelanggan sukakan nasi lemak yang mengekalkan ciri-ciri tradisional. Hidangan ini agak istimewa kerana masih mengekalkan selera Melayu dan dilapik daun piang.

Ditanya rahsia di sebalik nama Nasi Lemak Lima Sudu, Nor Azliyatai berkata nama itu diberikan kerana jumlah nasi yang terlalu sedikit berbanding jumlah lauk dalam setiap bungkusan.

“Hidangan nasi lemak biasa yang dihidang dengan ikan bilis dan telur rebus bermula pada harga RM2.

“Selain itu ada kira-kira 10 jenis lauk lain seperti kerang, ikan masin, ayam, paru, sotong dan udang yang dijual pada harga RM3,’’ ujar ibu kepada lima orang anak yang mula berniaga sejak lebih 15 tahun yang lalu.