Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek tersebut dibangunkan di atas tanah berkeluasan 3.04 hektar dan menawarkan sebanyak 3,002 unit kediaman di tujuh blok yang berkeluasan 850 kaki persegi bagi setiap unit.

“Harga yang ditawarkan unit ini juga dilihat menarik iaitu dengan kadar RM230,000 seunit meliputi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta satu kemudahan tempat letak kenderaan.

“Selain itu, projek ini merupakan projek mensejahterakan rakyat kerana setanding dengan pembangunan kediaman mewah dengan kemudahan seperti kolam renang, dewan serbaguna, surau dan taman rekreasi,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran dan sesi pengundian Residensi Desa Satumas dan Kempen ‘Raise The Flag’ hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan; Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn. Bhd., Tan Sri K K Chai; Ahli Dewan Negara merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff dan Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas. - UTUSAN ONLINE