Makanan ini sememangnya lebih sinonim sebagai masyarakat Cina, namun keenakan itik panggang sememangnya mampu menaikkan selera setiap penggemar sajian ini.

Pemilik D’Bawang Enterprise, Sakinah Yassin, 47, berkata, restoran itu sebelum ini hanya menyediakan hidangan nasi ayam serta masakan nasi campur dan idea menampilkan menu Nasi Itik Panggang sebagai sajian istimewa restorannya tercetus melalui seorang rakan iaitu saudara baharu berketurunan Cina yang bekerja sebagai cef di sebuah hotel ketika berkunjung ke restorannya beberapa tahun lalu.

Menurut Sakinah yang juga pesara tentera sejak empat tahun lalu, dia dan suaminya Ghazali Ahmad, 46, tertarik dengan cadangan itu dan mempelajari teknik masakan tersebut bagi memberi kelainan kepada pelanggan melalui menu Nasi Itik Panggang.

Pernah berkhidmat di bahagian sajian tentera di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, wanita itu berkata, menyedari masih kurang peniaga Melayu yang menjual menu tersebut membuatkan dia menyahut cabaran rakannya itu dengan memperkenalkan sajian itu biarpun restorannya terletak di kawasan luar bandar.

“Pada awalnya menu ini kurang memberangsangkan namun lebih dua tahun diperkenalkan semakin ramai yang menggemarinya malah ada pengunjung dari luar Melaka yang sanggup datang untuk mencubanya.

“Setiap hari juga ada pelanggan datang untuk menikmati Nasi Itik Panggang ini dan mereka menyukainya kerana rasa daging itik yang lembut dan tidak berbau hamis,” katanya.

Sakinah berkata, bagi menu tersebut ia dijual secara set dengan harga RM6.50 beserta air sirap dan set Nasi Ayam Panggang pula berharga RM5 beserta air.

Menurutnya, pemilihan itik yang berkualiti dan bersaiz besar juga ditekankan kerana ia mempengaruhi keenakan daging itik panggang.

Beliau berkata, menu itu akan disediakannya sendiri seawal pukul 7 pagi setiap hari sebelum dijual kepada pelanggan pada pukul 12 tengah hari.

“Saya juga bersyukur kerana semakin hari menarik pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa untuk menikmati hidangan Nasi Itik Panggang di restoran kami.

“Selain itu kami juga sering mendapat tempahan pelanggan terutamanya untuk majlis dan juga kenduri keraian,” katanya.

Tambahnya, selain menu itu pada sebelah petang, D’Bawang turut menawarkan pelbagai masakan Western dan Ala Carte berharga RM5 hingga RM16 untuk satu hidangan. - UTUSAN ONLINE