Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal itu dapat dilihat menerusi himpunan para penunggang motosikal berkuasa besar seperti Wilayah International Motofest (WIM)2018.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Persatuan Superbike Malaysia (SAM) memberitahu, beliau yang juga seorang penunggang motosikal berkuasa besar amat menyokong usaha perpaduan melalui minat yang serupa.

“Sebagai penduduk Wilayah Persekutuan, para penunggang motosikal berkuasa besar perlu menterjemahkan perpaduan menerusi minat yang sama,” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian WIM 2018 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

WIM 2018 mengumpulkan 30,000 penunggang motosikal berkuasa besar dari seluruh negara serta dari tiga buah negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

Himpunan besar-besaran itu juga diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018.

Ahmad Zahid turut menasihatkan para penunggang motosikal berkuasa besar di negara ini mengutamakan keselamatan diri.

Katanya, para penunggang perlu memberi tumpuan dan fokus sewaktu berada di jalan raya.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau memuji kepemimpinan Tengku Adnan yang berjaya membawa perubahan besar kepada Wilayah Persekutuan.

Katanya,Tengku Adnan berjaya membawa konsep islah atau renaissance dalam pentadbirannya selain tidak mengamalkan legasi peribadinya.

“Tengku Adnan merupakan pemimpin yang berwawasan dan rakyat perlu diberi dokongan,“ ujarnya. - UTUSAN ONLINE