Laluan berkenaan bertukar menjadi ‘pusara di jalan raya’ apabila sudah lebih 59 nyawa melayang sejak Mac 2016 akibat kemalangan yang didakwa berpunca daripada masalah jalan rosak.

Keadaan jalan di situ bukan sahaja berlubang tetapi juga gelap kerana ketiadaan lampu pantulan cahaya dipasang.

Sepanjang tempoh itu juga direkodkan lebih 1,500 kes kemalangan dengan 12 parah manakala 35 cedera ringan menyebabkan penduduk di sekitar Sungai Besar, Sabak Bernam dan Tanjong Karang mendesak pihak berkuasa segera bertindak.

Ini kerana mereka sudah bosan dengan janji pihak syarikat kontraktor dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sehingga sekarang gagal menyelesaikan masalah itu.

Penduduk turut tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan isu-isu penyelewengan.

Terbaharu, penduduk me­ngambil inisiatif melancarkan Jawatankuasa Bertindak FR5 dan menggerakkan peti-syen bagi mendesak pihak berwajib terutamanya JKR dan kementerian berkaitan mengambil tindakan terhadap aduan kemalangan di sepanjang jalan ber-kenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak, Ahmad Zhafri Md. Noor berkata, petisyen itu diambil selepas pihak terlibat dilihat gagal memenuhi segala tuntutan semasa perjumpaan tiga hala antara pihaknya, JKR dan kontraktor pada 16 November lalu.

“Sepatutnya masalah ber­kaitan jalan itu tidak timbul kerana syarikat terbabit amat berpengalaman kecuali terdapat penyelewengan.

“Andai kata pihak kontraktor dan JKR masih menutup mata tentang isu ini, kami akan mengambil tindakan lebih agresif bagi memastikan isu ini diselesaikan segera,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, penduduk me-nuntut tujuh perkara dilakukan segera pihak kontraktor antaranya menampal lubang; meletakkan tanda jalan; pasang lampu amaran di lokasi kerap kemalangan dan melakukan rondaan.

Turut dituntut agar diberi perhatian adalah menyediakan talian hotline; menyelenggara penghadang jalan dan memastikan lampu keselamatan berfungsi.