Pulau Pengelap merupakan satu lagi tarikan baharu dekat sini yang sudah dan sedang dibangunkan secara berperingkat-pe­ringkat dengan kos RM48.75 juta.

Bagi yang ingin ke Pulau Pengelap, mereka perlu menaiki feri dari Jeti Stulang Laut, Johor Bahru atau Jeti Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor ke Harbour Bay dekat sini dengan perjalanan kira-kira hampir dua jam menaiki feri.

Kemudian perlu menaiki bas selama kira-kira 90 minit untuk ke Terminal Kepri Coral dan daripada jeti tersebut perlu menaiki feri selama 20 minit untuk ke Pulau Pengelap yang ketika ini mempunyai sebuah pelantar dinamakan Kepri Coral.

Kawasan pulau berkenaan yang dibangunkan sejak dua tahun lalu di kawasan seluas kira-kira 500 hektar akan mula dibuka untuk kunjungan pelancongan pada September ini.

Menurut Pengarah Urusan PT Malindo Marine Shipyard, Harmanto Tan, pulau berkenaan mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan sepenuhnya dan akan siap pada tahun 2021.

“Walaupun belum siap sepenuhnya, kita sudah terima kunjungan pelancong sejak dua tahun lalu dan kita mempromosikan tempat ini secara berperingkat-peringkat mulai tahun lalu.

“Ketika ini terdapat kolam renang selain boleh lakukan snorkeling bagi yang ingin menikmati pemandangan indah hidupan marin seperti kerang raksasa, penyu dan batu karang hidup.

“Pembukaan sepenuhnya pulau ini akan membawa kesan positif kepada kedua-dua negara, terutama penduduk Johor di samping membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar di pulau itu baru-baru ini.

Seramai 26 ahli Kelab Media Johor (KMJ) mengikuti lawatan ke pulau berkenaan selama dua hari baru-baru ini bertujuan memperkenalkan dan mempromosikan Pulau Pengelap.

Harmanto yang juga pemilik pulau berkenaan berkata, pihaknya kini memberi kursus menyelam kepada jurulatih selain mengurus serta menjaga alam sekitar kepada semua pekerjanya.

Sementara itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, pihak media menjadi jamba­tan penghubung dalam aktiviti pelancongan di Johor selepas menjadi Friends of Tourism Johor pada 2015 yang bergiat dalam mempromosikan industri pelancongan.

“Malah ahli KMJ juga berfungsi sebagai duta kecil yang membawa nama negara kita termasuk membantu memperke­alkan produk pelancongan kerajaan negeri,” katanya.