Sejauh dan sesukar mana pun perjalanan yang ditempuh, kerinduan untuk bersama-sama kaum keluarga menyambut Aidilfitri di kampung halaman pasti mengatasi segalanya.

Bagi warga kota yang berkenderaan sendiri, cabaran pasti terletak pada kesesakan ketika berada di jalan raya manakala bagi yang menggunakan pengangkutan awam, kesukaran mungkin ketika mahu mendapatkan tiket perjalanan.

Apa sahaja jenis pengangkutan awam yang digunakan sama ada bas ekspres, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), keretapi atau kapal terbang, persiapan menggunakan pengangkutan awam harus dilakukan lebih awal.

Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) pada minggu ketiga Ramadan mendapati orang ramai sudah mula meninggalkan ibu kota.

Namun keadaan di kaunter penjualan tiket masih lancar tanpa perlu bersesak dan menunggu lama di kaunter tiket.

Peluang itu memberi kelegaan kepada warga kota yang membeli tiket pada hari perjalanan.

Antara kumpulan terawal yang dilihat meninggalkan ibu kota adalah golongan remaja terdiri daripada pelajar yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi di ibu kota.

Di kaunter penjualan tiket TBS, Utusan Malaysia difahamkan bahawa tiket-tiket bas ekspres banyak dijual melalui tempahan secara dalam talian sejak minggu pertama umat Islam berpuasa.

Pembelian awal itu sudah pasti untuk mengelak risiko kehabisan tiket seperti yang berlaku pada setiap tahun sehingga ada yang terpaksa mendapatkan tiket daripada ulat tiket dan berkesudahan ditipu dengan tiket palsu.

Bagaimanapun, tiket keretapi KTM dan ETS dari KL Sentral ke arah Utara bermula dari 8 hingga 14 Jun ini habis dijual.