Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kempen pilihan raya dengan cara hasutan.

“Sebarang bentuk pemasangan bahan kempen termasuk poster, kain rentang atau apa sahaja medium yang menyampaikan mesej berbaur hasutan akan diturunkan dan pihak yang bertanggungjawab melakukannya akan didenda.

“Penguatkuasaan ini dilakukan mengikut peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) demi menjaga ketenteraman dan kepentingan umum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2018 di KPJ Tawakkal Health Centre, Jalan Pahang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) DBKL, Rohmah Latiff dan Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah memaklumkan, pemasangan sebarang bahan kempen pilihan raya termasuk poster dan juga bendera sebelum proses PRU-14 diumumkan terletak di bawah bidang kuasa PBT.

Katanya, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pihak menurunkan bahan kempen kerana bidang kuasa itu terletak di tangan PBT. - UTUSAN ONLINE