Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Syah Abdul Wahid berkata, pemberian set bernilai RM10,000 menerusi Projek Telekung itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya terhadap masyarakat.

Katanya, usaha itu merupakan salah satu bentuk kemudahan dan keselesaan jangka panjang untuk pengguna-pengguna LRT menunaikan ibadah.

“Set yang disumbangkan termasuklah telekung, sejadah, tasbih dan kain pelekat yang mana dua unit disediakan bagi setiap stesen.

“Selain sumbangan kelengkapan, projek turut melibatkan usaha mengumpul, mencuci telekung dan menghantarnya semula ke surau berkenaan.

“Usaha ini merupakan komitmen jangka panjang dan menuntut kerjasama semua pihak,” katanya kepada pemberita dalam majlis Perasmian Projek Telekung Bank Muamalat Bersama Prasarana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelepasan sukarelawan projek berkenaan untuk ke setiap stesen laluan Kelana Jaya, Ampang dan Monorel serta lawatan ke surau Stesen Ara Damansara.

Sementara itu, Zohari berkata, pihaknya berbesar hati dengan komitmen yang dilaksanakan Bank Muamalat dalam usaha meningkatkan keselesaan pengguna kemudahan awam itu.

“Menerusi projek ini, Prasarana melantik lebih 100 kakitangan untuk menjadi sukarelawan bagi memantau dan menguruskan setiap kelengkapan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak,” ujarnya.