Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syek Akil mendakwa, kegagalan pihak kontraktor mematuhi perintah Jabatan Alam Sekitar (JAS) terutama membina zon penampan sungai telah menyebabkan pencemaran dan kerosakan pada 27 batang anak sungai semula jadi.

Katanya, pengeluaran notis pemberhentian kerja oleh JAS pada 24 Oktober lalu kepada pihak pemaju dan kontraktor projek EKVE namun kerja-kerja pembinaan masih diteruskan hingga ke hari ini.

“Kami menggesa pihak berkaitan agar menghentikan projek pembinaan lebuh raya ini serta-merta dan memulakan kerja-kerja pemuliharaan cerun dan zon penampan sungai agar hakisan atau mendapan tanah dapat dielakkan daripada menjadi tragedi berdarah kelak,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau turut disokong beberapa pihak yang terjejas antaranya penghuni di Maahad Tahfiz Darul Huffaz, Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah serta pemilik Kem Motivasi An-Naim Semungkis yang kerap berdepan kejadian banjir lumpur. - UTUSAN ONLINE