Penduduk mendakwa, projek yang mula dilaksanakan sejak awal tahun lalu dikhua-tiri mengancam keselamatan mereka terutama yang tinggal di Pangsapuri Vista Angkasa.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tersebut baru-baru ini mendapati, kebimbangan penduduk termasuk terdedah dengan masalah habuk dan bunyi berasas kerana jarak projek dengan perumahan itu hanya kira-kira 50 meter.

Berdasarkan pemerhatian, tahap ke­se­lamatan di tapak pembinaan itu tidak men­capai sasaran memuaskan.

Ini termasuk termasuk penggunaan kren yang menimbulkan keresahan orang ramai.

Seorang pesara, Hamidun Abdul Ghafar, 60, berkata, hanya pagar rendah yang dipasang bagi tujuan keselamatan atau mengelak daripada diceroboh.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan penduduk tidak tidur lena setiap kali hujan kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Sekiranya projek berkenaan diteruskan pastinya kawasan ini bertambah sesak memandangkan jumlah penduduk semakin meningkat,” katanya.

Turut berkongsi kebimbangan sama seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Nor.

Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu turun padang dan menguatkuasakan undang-undang dengan ketat sekiranya benar pemaju melanggar syarat ditetapkan.

“Saya juga berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyiasat dan memaklumkan kepada penduduk setempat status tentang keselamatan projek tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam,” ujarnya.