Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, program Jom Isi Minyak Percuma itu yang telah dianjurkan sejak awal tahun ini diteruskan khusus bagi meri­ngankan beban rakyat.

“Program ini akan tetap dite­ruskan walaupun harga runcit petrol terus menurun kerana tujuan kita ialah untuk membantu rakyat.

“Malah, kali ini kita memberikan minyak secara percuma de­ngan mengisi penuh tangki motosikal berbanding sebelum ini yang terhad RM5 bagi setiap motosikal,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut baru-baru ini.

Menurut Ahmad Faisal, program tersebut yang merupakan janji Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya untuk memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal diberikan setiap dua bulan sekali.

Dalam pada itu, katanya, bagi meringankan beban rakyat, UMNO dan Barisan Nasional (BN) di sini juga akan memperkenalkan pelbagai program bantuan lain di masa hadapan.

Beliau berkata, antaranya melibatkan program kembali ke sekolah dan program jual ikan murah.

“Selain penganjuran program Jualan Ikan Segar pada setiap bulan di sini, Pemuda UMNO di sini juga akan mengadakan program gunting rambut secara percuma pada hujung bulan ini.

“Program gunting rambut secara percuma ini yang dibuat sempena kembali ke sekolah akan mendapat kerjasama daripada Mara dan pelbagai pihak berkaitan lain,” katanya.