Majlis penutupan program anjuran Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat dari Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTMKL) itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial KUPTMKL, Dr. Farha Abdol Ghafar.

Pengarah projek, Tun Muzaffa Mukhriz Tun Asrul Saini berkata, program dua hari itu bertujuan mengangkat, mengenang dan menghargai kartunis tempatan yang pernah dan masih mewarnai industri kartun negara.

“Program dengan kerjasama Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) ini juga adalah usaha mengumpul dana bagi membantu seniman kartunis yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Tun Muzaffa Mukhriz, pelbagai aktiviti diadakan antaranya forum bersama kartunis Gayour, Aie Sulong, oReN, Ben Wong yang dikendalikan oleh Bop Hairy.

“Program Sudut Kita Bersama Sarah Joan Mokhtar memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan lakaran karikatur,” katanya.

Jelasnya, Ink To Heart 2019: A Homage To Malaysian Cartoonists adalah program khidmat masyarakat yang mana 20 peratus daripada hasil jualan akan disalurkan kepada tabung untuk membantu kartunis yang memerlukan. - UTUSAN ONLINE