DBKL menjalankan operasi dengan meroboh premis tanpa kelulusan di Lot 28164, Jalan Genting Kelang berdekatan Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN ONLINE

Difahamkan, kerja-kerja meroboh premis di atas tanah milik kerajaan yang ditangguh sejak 18 Disember lalu itu dilakukan pada pukul 7.30 pagi dibantu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Polis Diraja Malaysia.

Tindakan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf infrastruktur awam di taman tasik berkenaan untuk digunakan oleh kira-kira 400,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Utusan Malaysia pada 18 dan 20 Disember lalu melaporkan mengenai keengganan pemilik premis mengosongkan kawasan berkenaan meskipun menerima notis berulang daripada DBKL sejak beberapa tahun lalu.

Keputusan untuk tidak berpindah itu dibuat setelah kawasan seluas 0.1 hektar itu didakwa diterokai mereka sejak 25 tahun lalu dengan menggunakan wang sendiri untuk kerja-kerja menambak tanah dan pembinaan premis berkenaan.

Selain pusat jualan kereta, kawasan itu turut menempatkan bengkel serta pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan dan Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia.

Sementara itu, pemilik premis, Kamal Mohd. Noor, 47, berkata, beliau kesal dan terkilan dengan tindakan DBKL memandangkan operasi dibuat tanpa sebarang rundingan.

“Saya anggap ini sebagai sikap tidak berperikemanusiaan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang tidak mempedulikan kebajikan dan kedudukan kami sebagai rakyat tempatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE