Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, kumpulan pertama daripada enam peringkat seramai 15 orang meliputi 10 pemandu tren dan lima penyelia operasi itu akan dilatih menerusi anak syarikat Prasarana Integrated Management and Engineering Services (Prime).

Katanya, hubungan akrab negara dengan rakan tetangga seperti Indonesia telah membuka peluang kerjasama baharu dalam industri rel di republik itu termasuk penyediaan kepakaran dan tenaga mahir sejajar pelancaran MRT Jakarta yang dijangka beroperasi tahun 2019 nanti.

“Perkembangan ini amat bermakna bagi kedua-dua negara sebagai satu rumpun dan kemungkinan ada lagi rentetan kerjasama yang bakal dipelopori dalam peluang akan datang,” katanya dalam majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prime dan API, di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Prime, Masnizam Hisham dengan Presiden Pengarah API, Dedy Cahyadi sambil disaksikan Azmi dan Kepala Pusat Pengembangan Sumber Daya Manusia Perhubungan Darat Republik Indonesia, Zulmafendi Bachtiar. - UTUSAN ONLINE