Pukul 7.30 pagi menandakan bunyi loceng di sekolah dan mereka perlu tiba sebelum waktu tersebut dan jika lewat, nama akan direkodkan pihak sekolah.

Namun itu tidak berlaku, apabila sekumpulan pelajar lelaki dilihat melencong ke sebuah lokasi yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan.

Berdasarkan aduan penduduk Skuad Terjah ke perumahan kendaliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bagi melihat sendiri sejauh mana seriusnya gejala ponteng sekolah di kawasan perumahan itu.

Penulis dan jurugambar yang menghirup secangkir kopi bersama beberapa penduduk di sebuah gerai memerhati dari jauh gelagat mereka.

Ternyata aduan penduduk berasas apabila sekumpulan pelajar dilihat menuju ke sebuah lokasi yang difahamkan menjadi tempat mereka berkumpul.

Berdasarkan pemerhatian, pelajar berkenaan sempat membeli beberapa batang rokok di sebuah gerai berhampiran untuk melepaskan ‘gian’.

Lagak ‘hero’ kira-kira 10 pelajar sekolah terbabit melepaskan kepulan asap berjaya dirakam jurugambar.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, ‘aksi’ tersebut berlaku hampir setiap hari sejak beberapa tahun lalu.

“Sepatutnya mereka perlu tiba di sekolah pukul 7.30 pagi. Tetapi saya hairan pukul 7.45 pagi mereka masih melepak di kawasan ini lengkap berpakaian sekolah.

“Jika betul mereka ada ke­giatan di luar sekolah, tidak mungkin. Mereka tanpa segan silu melepak beramai-ramai di sebuah restoran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, nasihat turut diberi kepada pelajar terlibat, namun bagaikan mencurah air ke daun keladi

“Ditegur salah, tak ditegur salah. Apabila saya menasihati, saya pula dimarahi.

Apa yang dikesalkan, segelintir ibu bapa tidak tahu anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan itu dan percaya mereka ke sekolah.

“Saya pernah berjumpa de­ngan ibu bapa pelajar berkenaan kerana kebanyakannya saya memang mengenali mereka. Apa yang mengecewakan, mereka tidak percaya dan saya pula dimarahi.” katanya.