Inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengindahkan pemandangan di ibu negara itu ternyata berhasil apabila hampir keseluruhan kediaman terlibat bertukar wajah.

Jika bangunan PPR dan PA dahulunya usang, kini menjadi lebih ceria dan menarik.

Tinjauan Utusan Malaysia di PA Sri Sabah dan PA Sri Johor di Bandar Tun Razak mendapati, kerja-kerja mengecat dan mengindahkan bangunan kediaman itu giat dilaksanakan.

Rata-rata penghuni yang ditemui bersyukur dan gembira atas inisiatif kerajaan membantu rakyat bagi memastikan kediaman selesa didiami.

Ketua UMNO Bahagian kawasan itu, Datuk Rizalman Mokh­tar berkata, sebanyak 12,000 unit PPR dan PA di parlimen itu terlibat dengan projek tersebut dan dijangka siap bulan depan.

“Pada masa sama empat kawasan apartmen swasta turut diberi peruntukan kerja-kerja mengecat semula kediaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, projek memperindah itu bukan melibatkan kerja-kerja mengecat bahagian luar bangunan, tetapi juga bahagian dalaman rumah.

Sementara itu, Pe­ngerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wi­layah Persekutuan Sub Zon 1 Bandar Tun Razak, Abu Hassan Shaari Yeop berkata, usaha yang dilakukan itu memberi manfaat kepada penduduk secara keseluruhan.

“Terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap ke­selesaan kami,” katanya.

Penduduk, Abdul Manan Ngah pula berharap penduduk dapat sama-sama menjaga kawasan perumahan itu agar kekal indah dan bersih.