Demikian luahan masyarakat terhadap kebanjiran warga a­sing yang menyewa unit-unit PPR yang bukan sahaja merampas kemudahan itu daripada rakyat tempatan bahkan mencetus pelbagai masalah sosial dan isu berkaitan kebersihan.

Justeru, tindakan pemilik unit PPR yang membenarkan warga asing menyewa kediaman mereka untuk mengaut kadar sewa yang lebih tinggi tidak harus dibiarkan untuk mengekang masalah itu daripada menjadi lebih teruk.

Apatah lagi tindakan itu jelas bertentangan dengan undang-undang perumahan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota baru-baru ini mendapati rungutan orang ramai mengenai masalah itu berasas apabila kebanyakan daripada perumahan berkenaan dihuni oleh ramai warga asing.

Lebih memburukkan ke­adaan apabila unit-unit kediaman yang berkeluasan kurang daripada 800 kaki persegi itu dihuni oleh puluhan penyewa yang menimbulkan pelbagai masalah seperti bising dan persekitaran yang kotor.

Keadaan itu sekali gus me­nimbulkan kegusaran dan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk tempatan.

Walaupun pelbagai tindakan pe­nguatkuasaan dilakukan oleh ke­rajaan bagi membendung ma­salah itu, isu tersebut seperti masih tidak bernoktah.

Sehubungan itu, penduduk di perumahan PPR dan Perumahan Awam (PA) di sini menyokong kerajaan mengambil tindakan terhadap pemilik kediaman yang didapati bersalah menyewa rumah PPR kepada warga asing.

Pengumuman itu diputuskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin pada awal Jun lalu dengan memberi tempoh selama tiga bulan kepada pemilik rumah untuk mengosongkan rumah-rumah yang disewakan kepada warga asing.

Dalam perkembangan isu melibatkan PPR dan PA kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komunitinya, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, DBKL menyambut baik saranan kementerian dan akan bertindak tegas dalam penguatkuasaan dan bancian.

Menurut beliau, mana-mana pemilik unit yang memberi sewa kepada warga asing akan diberikan notis amaran kerana me­langgar syarat perjanjian dengan DBKL.

Manakala bagi individu yang menyewa unit kediaman daripada DBKL dan didapati me­lakukan kesalahan yang sama, unit berkenaan akan dirampas serta-merta.

Beliau berkata, bertindak kepada pengumuman KPKT itu juga, pihaknya mengeluarkan notis kepada pemilik rumah PPR dan PA yang disyaki melanggar syarat perjanjian sewa dan jual beli pada bulan lalu.

“Walaupun isu warga asing di PPR masih lagi terkawal, kami akan melaksanakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa selain memberi amaran kepada pemilik supaya mematuhi peraturan tersebut,” katanya.