Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, portal itu akan menjadi suara dan pemangkin segala aspirasi Barisan Nasional untuk mengekalkan kedudukan sebagai parti yang memerintah negara.

“Portal itu ada wadah terpenting dalam kejayaan BN kerana sosial media adalah wadah utama untuk menerima segala maklumat dan membuat penentuan ketika sampai masanya.

“Malah portal inilah cara pendekatan yang terbaik berhubung dengan rakyat segala yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional kepada masyarakat,” katanya ketika berucap ketika melancarkan portal itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tambah Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional, portal berkenaan bersifat interaktif di mana masyarakat boleh berinteraksi dengan lebih dekat menerusi program-program bantuan yang telah dijalankan oleh kerajaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta presiden-presiden parti kompenan Barisan Nasional.

Portal yang mempunyai tujuh segmen utama iaitu wawancara, majalah, analisis, ‘e-rakyat’, maklumat grafik, rakaman video dan manifesto BN dlengkapi beberapa ciri terkini dan digital supaya mesej yang disampaikan lebih dinamik dan menarik.

Selain itu portal tersebut juga akan memaparkan profil dan maklumat calon-calon BN yang akan bertanding pada PRU14 nanti untuk memberi kemudahan kepada rakyat bagi mengkaji rancangan dan janji BN untuk Malaysia bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Dalam pada itu segmen mengenai wawancara, pemimpin politik dan penganalisis akan dipaparkan di portal The Rakyat untuk mengutarakan pelbagai isu-isu rakyat yang menjadi persoalan pokok selain isu semasa melibatkan ekonomi, sosial, politik dan kemanusian.

Portal e-rakyat akan dihasilkan di dalam enam bahasa utama di Malaysia iaitu Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Iban dan Kadazan Dusun.-UTUSAN ONLINE