Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua mesin judi berkenaan merupakan hasil rampasan yang dijalankan oleh pihaknya sejak awal tahun ini hingga bulan lalu.

“Sepanjang tempoh itu, seba­nyak 687 serbuan dilaksanakan dengan jumlah tangkapan seramai 3,278 orang.

“Justeru, kita akan terus ber­tindak agresif bagi memastikan kegiatan perjudian ini dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya selepas menyaksikan program Pelupusan/Pemusnahan Barang Kes Judi Online, di sini baru-baru ini.

Mohd. Khalil berkata, tindakan pelaksanaan waran geledah menerusi perintah mahkamah turut dilaksanakan pihaknya secara berperingkat-peringkat.

“Hingga kini sebanyak 140 premis diambil tindakan ke atas waran yang dikeluarkan dan tindakan melupuskan mesin perjudian dilaksanakan selepas mahkamah mengeluarkan perintah untuk memusnahkannya.

“Barangan yang mendapat pe­rintah untuk dimusnahkan seperti 1,105 komputer, 492 komputer riba, 413 mesin pusat hiburan keluarga, 33 tablet dan 17 telefon,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan itu melibatkan serbuan di beberapa daerah di Johor Bahru Selatan (JBS), Johor Bahru Utara (JBU), Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Pontian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket perjudian mengaplikasikan perkembangan teknologi untuk meraih keuntu­ngan besar.

“Modus operasi sudah berubah daripada mesin simulator dengan mesin perjudian menggunakan laptop, tablet, komputer dan tele­fon pintar bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak diri dari dikesan,” katanya.