Sate yang diperbuat dari lebihan daging pada tulang ayam ini diusahakan oleh artis veteran, Mohd. Fauzi Ahmad atau lebih dikenali sebagai Poe.

Boleh dikatakan ada sahaja pesanan dibuat di gerai ‘Satay Tulang Jolobu’ yang terletak berdepan Restoran Zatimanis di Seksyen 2, Wangsa Maju itu.

“Buat masa ini di Kuala Lumpur, saya seorang satu-satunya berniaga sate tulang Jelebu ini selain rakan saya di Bukit Indah, Taman Kosas.

“Sudah tentu berbeza dengan sate biasa. Sambutan memang dahsyat walaupun baru dibuka pada minggu kedua Syawal,” katanya yang popular dengan lagu Alalala Latok Jangan Saman dalam era 90-an itu.

Digaul dengan rempah ratus rahsia, rasanya sangat sedap biarpun pada mulanya agak kekok kerana bimbang tertelan tulang ayam.

Namun kata Poe, seeloknya sate itu dilurutkan dari lidi dan dimamah satu persatu sambil dicicah dengan kuah kacang pekat yang disediakan.

Sudahnya, dua cucuk untuk sesi ‘rasa’ ditambah dengan dua lagi cucuk dan seterusnya sehingga tidak disedari berlonggok tulang ayam di atas pinggan.

Dijual pada harga RM1.50 secucuk, ia merupakan hidangan yang sesuai untuk seisi keluarga yang mahu menikmati juadah istimewa dari Jelebu ini tanpa perlu untuk pergi ke sana.