Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, anugerah tersebut membuktikan komitmen pihaknya dalam mengurus dana-dana dan merekodkan prestasi yang konsisten selain strategi pelaburan yang berkesan bagi memastikan PMB Investment terus menawarkan dana unit amanah yang berkualiti di pasaran.

Menurut beliau, berdasarkan Lipper Reader Rating, PMB SPF mencatatkan prestasi yang memberangsangkan apabila memberi pulangan sebanyak 11.11 peratus bagi tempoh tiga tahun dan 22.90 peratus bagi tempoh lima tahun berakhir 31 Disember 2018.

“PMB SPF berada pada kedudukan pertama daripada 57 dana untuk tempoh tiga tahun dan 52 dana bagi tempoh lima tahun dalam kategori dana Ekuiti Syariah Malaysia berakhir 31 Disember 2018. Kami sangat gembira dengan prestasi dana ini.

“Apa yang penting melalui penganugerahan ini adalah para pelabur berpeluang menikmati kadar pulangan yang kompetitif. Walaupun berdepan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada 2018, prestasi PMB SPF yang menggalakkan dapat direalisasikan dan dinikmati para pemegang unit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PMB SPF menawarkan peluang kepada pelabur untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang melalui pelaburan dalam mana-mana 50 saham patuh syariah terbesar dari segi modal pasaran (pada masa pembelian) yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Tambah Najmi, Asset Under Management (AUM) adalah sebanyak RM1.2 bilion setakat 28 Februari 2018.

Katanya, PMB SPF mengalami pertumbuhan saiz dana sebanyak 51.5 peratus kepada RM93.95 juta pada Disember 2018 berbanding RM62.02 juta pada Disember 2017.

Mengenai prospek 2019, Najmi berkata, tahun ini merupakan tahun yang mencabar, namun lebih baik berbanding 2018 meskipun terdapat beberapa faktor luaran yang tidak menentu seperti perkembangan positif berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Kami berharap dapat melihat perkembangan positif dalam projek infrastruktur dalam negara serta dasar kerajaan yang lebih jelas bagi menarik semula keyakinan pelabur ke dalam bursa tempatan terutama pelabur asing yang telah menarik pelaburan pada tahun lalu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

HABIS...