Ketua Pegawai Eksekutif PKWC, Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan, petua dan suntikan semangat kepada mereka bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Jelasnya, program itu turut menampilkan beberapa selebriti tanah air seperti Hafiz Hamidun, Black dan Fedtri Yahya untuk berkongsi kisah pengalaman mereka serta menghiburkan peserta seminar.

“Pada bulan ini PKWC telah menganjurkan seminar perdana kepada calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sambutan cukup menggalakkan apabila 1,000 calon UPSR dan PT3 menyertai program ini.

“Program ini sebagai nilai tambah kepada pelajar bagi mengurangkan tekanan mereka menghadapi peperiksaan,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam Seminar Motivasi Perdana PT3 di sini baru-baru ini.

Terdahulu, program anjuran PKWC dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilancarkan Ahli Parlimennya, Fahmi Fadzil.

Tambah Mohamad Sazali, beliau bercadang untuk menganjurkan Seminar Menara Gading iaitu pendedahan peluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta serta Program Latihan Teknikal dan Vokasional.

“Saya berharap semua calon yang menduduki peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM berjaya dengan cemerlang demi membina generasi Lembah Pantai yang lebih baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE