Penduduk mendakwa, kegagalan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan menyebabkan perumahan berstatus pajakan tersebut semakin uzur, jelik dan tidak terurus.

Selain keretakan bangunan dan tangki air bocor, penduduk turut berdepan masalah penutup dawai elektrik rosak, laluan pejalan kaki usang serta longkang tersumbat .

Utusan Malaysia difahamkan, masalah itu bermula semasa proses penyerahan bangunan daripada pemilik asal iaitu PKNS kepada JMB pada Disember tahun lalu.

Proses penyerahan tanpa perbincangan bersama penduduk berkenaan dilakukan tanpa sebarang suntikan modal daripada PKNS menyebabkan JMB tidak mempunyai wang untuk menyelenggara bangunan setinggi lima tingkat itu.

Seorang penduduk, Ismail Abdul Hamid, 69, berkata, dia dimaklumkan bahawa PKNS akan memberikan sejumlah RM56,000 kepada JMB untuk memulakan kerja-kerja penyelenggaraan sebelum proses penyerahan itu berlaku.

“Dalam pertemu­an bersama PKNS dahulu, kami hanya dibe­ritahu secara lisan dan mereka tidak menunjukkan sebarang dokumen hitam putih. Selepas itu, kami me­rujuk kepada JMB dan JMB memberitahu tidak menerima wang tersebut.

“Kami syak ada kepincangan di sebalik proses pengambilalihan tersebut yang menyebabkan perumahan ini tidak diselenggara dan diabaikan sehingga hari ini,” katanya.

Menyifatkan penduduk menjadi mangsa keadaan, Ismail berkata, mengikut undang-undang strata, kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum proses penyerahan berlaku.

“Malang sekali apabila tiada sebarang penyelenggaraan meskipun terdapat kerja-kerja mengaudit bangunan oleh PKNS sebelum penyerahan tersebut,” katanya.

Tambah Ismail, penduduk turut dikenakan caj penyelenggaraan baharu iaitu sebanyak RM50 pada Disember tahun lalu sebaik sahaja JMB me­ngambil alih menguruskan perumahan itu.

Katanya, kadar itu meningkat RM30 berbanding dahulu ketika di bawah pengurusan PKNS menyebabkan ramai penghuni enggan membayar kerana dilaksanakan tanpa persetujuan mereka selain caj yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, pen­duduk menggesa supaya JMB dan PKNS tidak lepas ta­ngan dan perlu lebih bertanggungjawab dalam menyelenggara kawasan perumahan itu demi keselamatan dan kesejahteraan penghuninya.

"Kami juga akan memanjangkan isu ini kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Pejabat Menteri Besar Selangor bagi memohon campur tangan ­mereka,” katanya.

Pangsapuri PKNS Seksyen 6 yang didiami sejak 1980 itu terdiri daripada lima blok dan me­nempatkan sebanyak 280 unit kediaman.