Pengerusinya, Datuk Affendi Zahari berkata, usaha itu dibuat untuk memastikan peniaga berkenaan tidak lagi sesuka hati menjalankan perniagaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Selama ini berlaku kesesakan lalu lintas akibat tindakan mereka yang berniaga terutama di bahu-bahu jalan dan tempat parkir.

“Kita akan tetapkan kawasan mana yang boleh berniaga de­ngan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan PKB kepada komuniti sempena Hari Raya Aidiladha di sini.

Beliau berkata, tindakan bersepadu ke atas peniaga bersama DBKL baru-baru ini selepas mendapati melanggar peraturan kerana menjalankan perniagaan di kawasan tidak dibenarkan.

“Kita kena faham jalan di Kampung Baru tidak luas. Apabila ada orang mengambil kesempatan untuk berniaga di kawasan tersebut, ia boleh mendatangkan pelbagai kesulitan kepada orang awam,” katanya.

Mengulas mengenai program beliau berkata, sebanyak RM58,000 termasuk lima ekor lembu disampaikan kepada komuniti untuk pelaksanaan ibadah korban di Kampung Baru sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini.

Menurutnya, bantuan yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat agensi itu disalur kepada 18 penerima melibatkan masjid, surau, persatuan dan kawasan rukun tetangga (KRT) di kampung berkenaan.