Program anjuran bersama Majlis Daerah Jelebu dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.

Bakri berkata, acara tersebut bertujuan mempromosikan kawasan Homestay Sungai Buloh sebagai produk pelancongan inap desa di daerah Jelebu.

Katanya, pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program itu antaranya ‘mengemping’, menangkap ikan menggunakan tangan atau mengoca, bola sepak sawah, persembahan kebudayaan, pertandingan memikat burung, pameran dan jualan serta eco ride.

“Pesta Mengemping adalah sebuah aktiviti keramaian yang dijalankan semasa musim menuai padi di Kampung Sungai Buloh. Semasa pesta ini, penduduk kampung akan berkumpul dan bersama-sama menyediakan emping padi.”

“Paling teruja ialah aktiviti ‘mengoca’ yang disertai kira-kira 300 peserta di mana pelbagai aksi dan ragam dapat dilihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Klawang berkata, acara itu turut memperkenalkan trek motorcross sejauh 40 kilometer yang hanya terdapat di daerah Jelebu.

“Trek ini melalui beberapa produk eko pelancongan seperti Jeram Enggang, Jeram Gajah dan Jeram Sungai Pah menghala Sungai Buloh,” katanya. - UTUSAN ONLINE