Bayangkan perasaan ibu bapa jika mendapat tahu anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti tidak sihat tersebut.

Bagaimanapun, keghairahan remaja-remaja terbabit menganjurkan pesta dadah, minuman keras dan aktiviti maksiat di situ berakhir selepas diserbu dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) siri ke-34 yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pemba­ngunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib baru-baru ini.

Tiga remaja bawah umur adalah antara 23 individu yang ditahan positif dadah kerana mengambil dadah jenis ekstasi, opiat, ganja, amphetha­mine dan methamphetamine.

Utusan Malaysia yang turut serta dalam operasi tersebut difahamkan, aktiviti itu diketahui remaja terbabit melalui aplikasi Wechat.

Salah seorang gadis bawah umur yang ditahan dan hanya mahu dikenali sebagai Scha mengakui sudah tiga kali mengambil pil ekstasi sejak awal tahun ini.

“Saya membeli pil tersebut melalui pengedar dengan harga RM35 sebiji. Saya mengambil pil itu sebelum memasuki pusat hiburan untuk menimbulkan rasa lebih ‘enjoy’ bersama rakan-rakan lain,” katanya.

Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 1 pagi itu, seramai 122 orang diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 14 lelaki dan sembilan perempuan didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. - UTUSAN ONLINE