Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali berkata, pelaksanaan sistem itu me­lalui kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lingkaran Trans Kota Holding Berhad (Litrak) bertujuan me­lancarkan pengurusan trafik di kawasan tersebut.

“Pelaksanaan sistem lalu lintas baharu ini akan dibuat secara percubaan selama tiga bulan dengan pemantauan bersama oleh MPSJ, JKR, Polis Diraja Malaysia dan Litrak.

“MPSJ akan memasang papan tanda sebagai notis pemberitahuan kepada penduduk berhubung perkara ini di sekitar kawasan berkenaan bermula 1 Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Februari 2019 di Bangunan MPSJ, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zulkurnain, pelaksanaan sistem pengurusan lalu lintas itu akan melibatkan penutupan Jalan Prima Tropika menghala keluar ke Jalan Putra Permai.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari kawasan The Atmosphere, Taman Prima Tropika, Taman Alam Putra dan Taman Lestari Permai diminta mematuhi arah laluan alternatif yang disediakan bagi melancarkan perjalanan.

“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan laluan alternatif ke Seri Kembangan melalui Persiaran Permai Sentosa, Persiaran Putra Permai Utama, Persiaran Putra Permai Selesa dan Persiaran Pinggiran Putra.

“Pengguna yang mahu ke Puchong atau Putrajaya pula boleh melalui Jalan Atmosphere Utama 2 manakala ke Lestari Perdana melalui Persiaran Putra Permai Utama dan Persiaran Putra Permai Selesa,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya menjangka timbul sedikit kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya pada awal pelaksanaannya.

“Sehubungan itu, MPSJ akan menyediakan notis atau tanda arah yang mencukupi di beberapa lokasi kawasan bagi memudahkan pemandu menuju ke destinasi masing-masing.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkara tersebut boleh melayari laman web MPSJ di www.mpsj.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan Setempat di talian 03 8024 7700,” katanya.