Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, perubahan laluan berkenaan bermula dari simpang Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang hingga simpang Jalan Sultan Ismail dan Jalan Imbi.

“Kenderaan yang datang dari arah Jalan Bukit Bintang dibenarkan membelok ke kiri menghala ke Bulatan Kampung Pandan, Terowong SMART dan Petaling Jaya.

“Perubahan aliran trafik ini dilaksanakan bagi menampung pertambahan bilangan kenderaan yang datang dari arah Bukit Bintang dan mempercepat pergerakan trafik dari pusat bandar khususnya waktu puncak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai diminta mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik bagi mengelakkan kekeliruan. - UTUSAN ONLINE