Beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan, restoran ini dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 4 petang hingga 10.30 malam.

Pemiliknya, Mohd. Khairul Hisham Abdul Rahman, 35, berkata, beliau memulakan perniagaan tahun lalu dengan memperkenalkan makanan barat yang diubah suai supaya menepati selera orang ramai khususnya masyarakat negeri ini yang sukakan masakan pedas.

Ujarnya, seperti restoran makanan barat lain, Pine & Dine menyajikan menu seperti lamb chop, chicken chop, spagetti carbonara dan lain-lain lagi pada harga berpatutan.

"Yang istimewanya di sini pelanggan boleh memesan sos mengikut tahap kepedasan yang mereka mahukan seperti pedas atau ekstra pedas.

"Kami juga menyediakan lamb chop dengan hidangan sampingan kentang bakar bersalut keju dan pembuka selera mengikut sunnah iaitu salad buah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, hiasan dalaman restoran itu mengetengahkan konsep kayu palet yang boleh membangkitkan mood pelanggan untuk menikmati hidangan dalam suasana santai dan selesa.

Ujarnya, perniagaan yang diusahakan bersama isteri, Ain Hafidza Abd. Aziz, 37, itu kini telah mempunyai dua lagi cawangan iaitu di Bangi, Selangor dan Melaka.

Mohd. Khairul Hisham berkata, dia bercadang membuka beberapa lagi cawangan sama ada di Nilai atau di Port Dickson tidak lama lagi.

"Selain restoran, kami turut mengusahakan perniagaan katering untuk pelbagai majlis seperti sambutan hari jadi atau majlis keraian lain,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman Facebook atau Instagram ‘Pine & Dine’. - UTUSAN ONLINE