Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, pertan­dingan itu bertujuan mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang memaparkan keunikan seni bina bangunan.

Beliau berkata, selain seni ba­ngunan sebagai tarikan utama, Putrajaya juga memaparkan keindahan landskap semulajadi yang boleh diterjemahkan mengikut kreativiti peserta.

“Pertandingan ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada para peserta me­ngenai produk-produk yang terdapat di Putrajaya seperti taman awam dan Tasik Wetland yang menawarkan pelbagai flora dan fauna.

“Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Senibina Putrajaya, Alam Semulajadi atau Landskap Putrajaya dan Fotografi Dron. Penyertaan pertandingan adalah percuma,” katanya ketika ditemui pembe-rita di sini.

Menurut Hasim, pertan­dingan dron merupakan kategori yang pertama dipertandingkan di Ma­laysia dan sudah tentu akan memberi cabaran serta pengalaman berbeza kepada peserta.

“Juara bagi setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, naib juara RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 selain lima hadiah saguhati bernilai RM200.

“Pemenang juga akan menerima hadiah iringan berupa aksesori kamera dan nilai terkumpul bagi ke­seluruhan hadiah pertandingan ini adalah sebanyak RM34,000,” katanya.

Selain itu katanya, syarat-syarat pertandingan boleh didapati melalui laman web PPj di www.ppj.gov.my atau laman sosial facebook www.facebook.com/putrajaya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh menghubungi talian 03-88877736 (Adi Khirman) atau 03-88877276 (Khairul Faizi).