Mereka mendakwa, sejak projek itu berjalan hampir empat tahun pelbagai masalah timbul termasuk pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas.

Tinjauan Utusan Malaysia bersama Persatuan Penduduk Kampung Bukit Lanjan baru-baru ini mendapati Jalan Damansara, Sungai Penchala di sini rosak teruk ekoran menjadi akses utama kenderaan berat keluar masuk ke tapak projek berhampiran.

Pengerusinya, Abdul Halim Halid berkata, mereka bukan menolak pembangunan te­tapi sekurang-ku­rang­­nya pihak ber­tanggungjawab me­mikirkan kesan yang dihadapi penduduk setempat.

Menurutnya, se­jak projek dilaksanakan penduduk di kampung itu terpaksa berdepan dengan jalan rosak dan berlubang.

Dakwanya, kawasan sekitar tapak projek di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pe­taling Jaya (MBPJ) itu me­nyumbang pencemaran udara dan bunyi bising hingga menyebabkan gegaran pada rumah dan ancaman keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Kea­daan menjadi lebih bahaya apabila waktu hujan dan lubang-lubang yang dibiarkan tidak berturap dipenuhi air.

“Aduan sudah diajukan kepada pihak MBPJ berhubung keadaan jalan dan sekitar yang berdebu berpunca daripada tapak projek seliaannya namun penduduk diminta pula merujuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana bukan dalam pentadbirannya.

“Penduduk jadi buntu kepada siapa untuk mengadu bagi menyelesaikan masalah ini.

“Sehubungan itu kami me­rayu kedua-dua pihak berkuasa tempatan berbuat sesuatu bagi memastikan keselamatan dan ke­sejahteraan penduduk di sini terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Lebih malang jalan yang sibuk dengan keluar masuk lori tanah dan lori 10 tan itu tidak diletakkan sebarang papan tanda keselamatan mencukupi malah garisan jalan sudah pudar serta diliputi sisa tumpahan simen.