Tidak kira pada cuti hujung minggu apatah lagi pada hari biasa, kesesakan adalah sinonim terutama di kawasan persimpa­ngan Lebuhraya Duta Ulu kelang Fasa 1 (Duke 1), di hadapan Hotel Flamingo, persimpangan Keramat AU, persimpangan Taman Connaught dan Bandar Tun Razak.

Semua kawasan itu boleh dilabelkan sebagai tumpuan kesesa­kan sepanjang masa le­bih-lebih lagi pada waktu puncak.

Tinjauan Utusan Malaysia pada cuti hujung minggu baru-baru ini mendapati rata-rata pengguna sudah lali dengan situasi tersebut.

Antaranya Mohd. Amiruddin Zakaria, 32, yang mengatakan situasi itu sukar dielak kerana jumlah kenderaan yang tinggi di jalan berkenaan.

“Mungkin lebuh raya ini merupakan projek pembinaan terawal dan ia merupakan satu-satunya jalan penghubung antara selatan ke utara ibu negara iaitu dari Gombak ke Su­ngai Besi.

“Memang susah kalau kita me­laluinya dengan kea­daan yang tenang daripada biasa kecuali pada Hari Raya Aidilfitri yang semenangnya kurang kenderaan di kota,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Turut berkongsi rasa, Mohd, Daud, Isa, 41, pula menyifatkan masalah kesesakan di jalan ber­kenaan sukar untuk diatasi de­ngan pertambahan jumlah ken­deraan di ibu negara.

“Namun, sekiranya ada jalan alternatif lain yang akan dibina oleh kerajaan, mungkin masalah ini akan berkurangan kerana pe­ngagihan kenderaan akan berlaku.

“Saya berharap akan keluhan dan tekanan yang terpaksa dihadapi rakyat dapat diatasi dan diselesaikan untuk tempoh masa akan datang,” ujar­nya.