Menurut Pengurus Pemasaran pusat beli-belah IPC, Eleanor Lo, sebahagian daripada pusat membeli-belah itu berubah wajah menjadi sebuah taman permainan tradisional klasik menempatkan permainan congkak, chapteh dan batu seremban gergasi untuk memberi keseronokan kepada pengunjung.

“Kami ingin memberikan pengalaman perayaan Aidilfitri yang membawa kenangan silam. Kebanyakan orang menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet sehingga jarang berinteraksi dengan orang tersayang pada musim perayaan.

“IPC berharap dapat menghidupkan kembali nostalgia pelbagai permainan tradisional klasik yang menggamit memori supaya kita akan mengetepikan gajet buat sementara demi mengeratkan semula silaturahim keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Eleanor, para pengunjung turut berpeluang melihat persembahan tarian Melayu tradisional, muzik angklung, termasuk menyertai bengkel lukisan batik dan lipatan ketupat fabrik pada pameran itu. - UTUSAN ONLINE