Tanpa perlu berpanas atau menahan kesakitan terkena tembakan, mereka kini boleh beralih kepada permainan Laser Tag di Laser Battle yang terletak di Berjaya Times Square, Jalan Imbi dekat sini.

Berkonsepkan peperangan interaktif­ atau futuristik, permainan­ ini boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan dengan halangan­ yang direka khas.

Umpama di medan perang, peserta perlu merancang strategi seperti­ membuat serangan, bertahan di kubu dan bersembunyi sebelum menembak musuh.

Dengan penggunaan teknologi laser yang diimport dari Australia, tidak hairanlah permainan lasak dalam bangunan atau indoor ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan warga kota.

Cahaya laser itu dijamin selamat dan tidak berbahaya kepada pengunjung yang datang untuk bermain bersama rakan-rakan atau keluarga.

Permainan tersebut mengga-bungkan­ konsep permainan video serta sukan paintball dan pengunjung boleh ‘berperang’ di dalam ruang seluas lebih 3,500 kaki persegi.

Penulis berpeluang mencuba permainan itu itu baru-baru ini dan sebelum memulakan ‘peperangan’, sesi penerangan mengenai peraturannya diberikan oleh petugas di situ.

Penulis kemudian diminta memakai baju elektronik dan diberi pistol laser yang mempunyai warna berbeza dengan pemain lain.

Terdapat 10 siri permainan yang memberikan pengalaman berlainan kepada pengunjung-pengunjung untuk menempuh cabaran.

Baju elektronik yang dipakai oleh peserta mempunyai sistem khas, bertujuan untuk merekodkan data termasuk mata yang dipungut seterusnya direkodkan ke dalam komputer.

Antara siri permainan yang mencabar penulis adalah menembak­ pancaran laser di kawasan gelap tanpa sebarang cahaya.

Bagi yang gemarkan kegiatan lasak, permainan ini pastinya memberikan pengalaman menyeronokkan apatah lagi dapat ‘menembak’ rakan anda yang menyertai permainan ini.