Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, keperluan berkenaan dipandang serius berikutan hasil kerja sewaktu pembinaan akan memberi kesan kepada kualiti projek dan keselamatannya.

Katanya, akreditasi adalah penting kerana ia adalah perakuan kemahiran sebelum penyelia tapak bina dan pekerja binaan mahir mula bekerja mula bekerja di mana-mana tapak binaan.

“Mengikut Akta CIDB 1994 (Akta 520) melalui Seksyen 33A(1) dan (5) memperuntukkan kesemua pekerja binaan mahir yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa sebarang perakuan CIDB boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000.

“Hukuman sama terhadap majikan mengikut Seksyen 33A(6) akta sama turut akan dikenakan kerana mengambil pekerja binaan yang tidak mempunyai akreditasi daripada CIDB,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Asri, sehingga tempoh bulan Jun 2017 seramai 847,129 pekerja binaan telah didaftarkan CIDB dan daripada jumlah tersebut hanya 200,954 orang yang tampil untuk mendapatkan perakuan kemahiran mereka. - UTUSAN ONLINE