Salah satu daripadanya adalah tarikan Rumah Nelayan Terbalik di laman Perikanan yang dihasilkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Membawa mesej mengenai konsep kehidupan nelayan, rumah terbalik itu mengetengahkan pelbagai barangan perhiasan, pe­rabot baharu dan lama serta barangan antik dari tahun 1950-an.

Keunikannya adalah apabi­la peralatan menangkap ikan seperti bot, pukat dan jala selain barangan dapur antaranya meja, kerusi, periuk, cerek dan bakul dipasang secara terbalik di segenap ruang dan sudut di dalam mahupun di luar rumah.

Peralatan dan barangan yang dipamerkan di dalam rumah kampung itu seolah-olah menggambarkan kehidupan sebenar sebuah keluarga nelayan di pesisir pantai untuk ditatap oleh pengunjung.

Pengunjung yang berpeluang melawat rumah terbabit kelihatan terpegun dan seronok selepas melihat kedudukan barang-barang yang tergantung di atas kepala mereka sambil tidak melepaskan peluang merakamkan foto sebagai tanda kenangan.

Pameran rumah terbalik itu merupakan sebahagian daripada 15 tarikan utama komponen perikanan di MAHA 2018 selain pa­meran ikan bernilai tinggi di Galeri Ikan Sungai dan ikan hiasan serta tumbuhan akuatik di Galeri Vivavium.

Galeria Akuarius pula memberi peluang kepada pengunjung memberi makan ikan-ikan bersaiz besar di samping menyauk sendiri ikan yang boleh dibeli dan dibawa pulang untuk dipelihara.

Pameran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) itu disifatkan sebagai festival terbesar produk-produk yang dihasilkan dalam pelbagai bidang terutama pertanian, penternakan, perikanan dan makanan.

Orang ramai memenuhi setiap ruang pameran di dalam dan luar dewan untuk meneroka pengalaman pertanian di tujuh laman seperti Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan dan Laman Nenas.

Pengunjung juga bertali arus melawat kira-kira 1,500 gerai jualan yang menjual buah-buahan, sayur-sayuran, bunga, ikan dan makanan laut segar termasuk produk industri kecil dan sederhana oleh usahawan tempatan.

Selain gerai jualan dan pa­meran pelbagai aktiviti disusun antaranya demonstrasi memasak, pembuatan bunga tekap, pembuatan sabun aroma terapi, pertandingan gubahan bunga, pertandingan mewarna dan demo terrarium.

Dengan mengangkat tema #makananmenyatukan kita, sebanyak 14 negeri bergabung menyediakan lebih 700 menu makanan yang menonjolkan kepelbagaian rencah rasa dan budaya kepada pengunjung di Empayar Makanan.

MAHA 2018 yang bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita kali ini menarik lebih 3.5 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa selain menjana pulangan jualan RM200 juta hasil daripada aktiviti dagangan dan pemadanan perniagaan.