Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri berkata, tindakan tegas tersebut patut dikenakan kepada pesalah tegar yang sering mengulangi kesalahan sama.

“Hukuman penjara tiga bulan dan kenaikan kompaun sehingga lebih enam kali ganda mungkin mampu memberi peringatan dan juga pengajaran kepada pesalah-pesalah ini terutama yang sering melakukan kesalahan sama berulang kali supaya tidak lagi mengabaikan aspek keselamatan dalam pemanduan.

“Tujuannya bukanlah untuk menakut-nakutkan pengguna jalan raya tetapi sekadar ingin memberi kesedaran kepada mereka yang seakan-akan menjadikan penggunaan telefon bimbit ketika memandu sebagai satu trend,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Pengangkutan menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan melibatkan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu di negara ini yang direkodkan kian meningkat.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak 20 lagi kesalahan termasuk penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan memotong garisan berkembar akan ditambah ke dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) pada tahun depan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman merasakan langkah Kementerian Pengangkutan untuk menambah baik sistem AWAS wajar dipuji kerana dapat meningkatkan pemantauan terhadap kesalahan-kesalahan yang dinyatakan.

Menurutnya. peningkatan kes kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh kelalaian pemandu menggunakan telefon bimbit memerlukan penguatkuasaan yang lebih holistik dan diperluaskan lagi oleh pihak berkuasa.

“Dengan pertambahan fungsi ini, secara tidak langsung kita dapat mendidik masyarakat supaya tidak melanggar peraturan jalan raya terutamanya menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE