Dalam kejadian pukul 7 malam itu, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan di kepala, muka, kaki dan tangan akibat dipukul oleh kumpulan lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kejadian itu berlaku apabila penjaga tempat letak kereta tersebut diarahkan untuk mengunci sebuah kereta Perodua Axia yang menghalang kenderaan lain untuk keluar.

“Selepas sejam kenderaan tersebut dikunci, pemilik kenderaan bersama 10 lagi rakannya berjumpa dengan mangsa sebelum dipukul secara bertubi- tubi oleh kesemua suspek,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Sukri, hasil siasatan lanjut, pihaknya telah mengesan salah seorang daripada suspek yang terlibat dan lelaki itu telah menyerah diri pada pukul 2 petang tadi.

Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - UTUSAN ONLINE