Wakil kumpulan tersebut, Jamil Ab. Malek, 61, berkata, mereka yang bertapak hampir 15 tahun di situ turut mempersoalkan kewajaran PPj memberi kontrak sewa perniagaan kepada orang luar.

“Kami telah diberikan surat oleh PPj bahawa mereka akan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian medan selera selama dua bulan bermula November tahun lalu dan turut menjanjikan untuk menyambung semula kontrak.

“Tetapi sebaliknya mereka baru-baru ini meminta kami membuat permohonan kontrak sewa baharu, namun pada 27 Mei lalu, PPj memaklumkan permohonan itu ditolak tanpa sebarang alasan,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Presint 16 di sini.

Menurut Jamil lagi, para peniaga telah mengalami kerugian hampir RM15,000 dalam sebulan sejak mereka menutup perniagaan untuk kerja pe­ngubahsuaian berkenaan.

“Bayangkan Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi, kami perlu berbelanja untuk persiapan keluarga, mana lagi kami hendak cari sumber rezeki kalau perniagaan tidak berjalan.

“Sehubungan itu, kami me-rayu mana-mana pihak berwajib supaya tampil segera menyelesaikan isu berhubung status perniagaan di sini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mek Nas Mat Jusoh, 60, berkata, pihaknya akan menghantar aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan pembahagian kontrak perniagaan tersebut.

Beliau mendakwa kontrak diberikan kepada orang luar dan bukannya pengundi serta penduduk dalam Parlimen Putrajaya, malah mereka terdiri daripada pemilik restoran ternama.

“Tujuan medan selera ini dibuka bagi membantu peniaga kecil seperti kami, tetapi me­ngapa kontrak diluluskan kepada peniaga yang sudah berjaya selain memiliki banyak cawangan restoran di sekitar Lembah Klang,” katanya.