Tinjauan Utusan Malaysia ke Jalan Pasar Pudu mendapati hampir 99 peratus laluan pejalan kaki di hadapan deretan bangunan dua tingkat di situ dipenuhi peniaga barang yang dipercayaitiruan.

Daripada pelbagai jenis gajet berjenama hinggalah barang­an seperti jam tangan, cermin mata, beg dan kasut kulit boleh didapati dengan mudah.

Terdapat juga peniaga dilihat berani menjual ubat kuat di sepanjang jalan tersebut tanpa mempamerkan sijil kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Utusan Malaysia difahamkan, barang­an seperti telefon pintar dan kasut kulit berjenama yang dijual di situ dibekalkan oleh individu sama kepada peniaga.

Barangan tersebut dipercayai diambil dari China secara borong dan dijual kepada peniaga sekitar ibu negara tanpa kawalan dan sekatan oleh pihak berkuasa.

Sepanjang pemerhatian selama lebih dua jam, tidak kelihatan kelibat seorangpun penguat kuasa sama ada dari Kementerian Perdagang­an Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sebaliknya, Jalan Pasar Pudu terus meriah dengan suara peniaga tawar menawar barangan dengan pembeli tanpa sebarang rasa takut atau bersalah.