Timbalan Presiden Persa­tuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajudin Mohd. Yunus memberitahu, kadar tambang bas semasa sudah tidak relevan memandangkan kos operasi yang semakin meningkat.

Beliau berkata, bebanan seperti harga bahan bakar dan caj penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan ada syarikat bas yang terpaksa gulung tikar kerana keuntungan yang tidak setimpal.

“Kami pernah dijanjikan kenaikan harga tambang tetapi ia seperti menunggu buah yang tak gugur. Sudah hampir 10 tahun tiada penyelarasan harga tambang mengikut kadar yang ditetapkan iaitu 20 peratus setiap lima tahun.

“Saya harap kali ini kenaikan itu benar-benar berlaku dan kalau boleh dilaksanakan segera demi nasib pengusaha bas terutamanya orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu isu ber­kenaan akan dibawa ke Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk perbincangan lanjut.

Tambah Tajudin, sekiranya diluluskan oleh kerajaan, kenaikan kadar tambang itu diharap tidak akan menyusahkan pengguna sebaliknya memberi lebih keselesaan dan selamat.

“Kalau tiada kenaikan tambang bas macam mana kami hendak meneruskan perniagaan ini. Diharapkan ia dapat memberi situasi menang-menang kepada pengu­saha dan juga penumpang,” katanya.

Semakan tambang yang dilaksanakan pada 2009 menetapkan kenaikan seba­nyak 31 peratus daripada 6.5 sen sekilometer kepada 8.5 sen sekilometer manakala kadar surcaj ditetapkan pada kadar 0.8 sen sekilometer pula dikenakan sejak 2015, menjadikan kadar tambang dinaikkan kepada 9.3 sen satu kilometer sehingga kini.