PENGGUNA KTM Komuter meluahkan keresahan mereka melalui laman sosial Twitter hari ini. - UTUSAN ONLINE

Laman sosial Twitter dihujani keluh-kesah dan pertanyaan pengguna tren itu pada waktu puncak petang ini kepada akaun rasmi KTM, @ktm_berhad berhubung servis operasi jadual perjalanan.

Turut dikongsi notis yang ditampal dipercayai oleh pihak stesen KTM berhubung ketiadaan perkhidmatan komuter pada hari ini ekoran insiden tren kargo tergelincir di Stesen KTM Bank Negara pagi ini.

Insiden pada pukul 2.58 pagi itu melibatkan tren kargo 12 gerabak yang terbalik setelah tergelincir daripada landasan di Kilometer 386 di antara laluan Stesen KTM Bank Negara menuju ke Stesen KTM Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui kenyataan di laman sosial Facebook berkata, insiden turut menyebabkan operasi perkhidmatan komuter terhad ke beberapa destinasi saja iaitu Tanjung Malim - Kepong; Pelabuhan Klang - KL Sentral; Tampin/Seremban - KL Sentral dan Batu Caves - Sentul.

Katanya, pengguna dinasihati menggunakan perkhidmatan alternatif iaitu Transit Aliran Massa (MRT) di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan perkhidmatan Aliran Transit Ringan di Pasar Seni dan Subang Jaya.


“Mereka juga disaran menggunakan perkhidmatan bas percuma Go-KL untuk ke KL Sentral dan seterusnya memilih mana-mana alternatif pengangkutan awam lain yang tersedia.

“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan dijangka mengambil tempoh masa sehingga dua hingga tiga hari untuk perkhidmatan kembali beroperasi seperti biasa,” demikian menurut kenyataan tersebut. - UTUSAN ONLINE