Di negara ini sendiri, pelbagai muzik tradisional diangkat sehingga sebagai identiti sesebuah bangsa atau negeri seperti kompang bagi kaum Melayu, erhu bagi masyarakat Cina dan tabla oleh orang India.

Bagi Mohammad Shah Rizan Abdul Rasid, 34, minat terhadap dunia muzik ‘antik’ Didgeridoo yang menjadi khazanah kaum pribumi di Australia turut mempunyai peminat tersendiri di Malaysia.

“Meskipun instrumen yang digunakan hanya diperbuat daripada kayu dan buluh, namun bunyi yang dihasilkan dapat diletakkan setanding dengan alat muzik moden.

“Malah ada sesetengah bunyi terhasil bersifat lebih asli dan unik berdasarkan kepakaran dan kreativiti pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ujar Mohammad Shah Rizan, tiada kod bunyi diletakkan seperti mana yang ada pada biola, gitar dan piano tetapi Didgeridoo melibatkan teknik pernafasan serta olahan lidah dan bibir.

Katanya lagi, persembahan Didgeridoo sesuai dalam acara-acara makan malam dan sukan berbentuk tenang seperti yoga.

“Bunyi yang dihasilkan alat juga berbeza mengikut jenis sama ada diperbuat daripada kayu, paip serta saiz besar dan panjang.

“Malah muzik ini juga boleh dimainkan secara bersama dengan alat muzik moden mengikut kesesuaian rentak dan irama yang tersendiri,” tambahnya.