Ini terbukti apabila kira-kira 100,000 orang menggunakan perkhidmatan MRT SBK sejak dibuka kepada umum.

Bagi pemerhati atau penggemar seni bina, reka bentuk arkitektur empat buah stesen bawah tanah MRT SBK dilihat dekat di hati rakyat Malaysia dan wajar dipuji.

Salah satunya di Stesen Merdeka yang terletak berdekatan Stadium Merdeka, menampilkan seni bina moden, unik dan berunsur nostalgia.

Di situ terdapat ukiran Rukun Negara yang terdapat pada dinding stesen tersebut, selain mural Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan kemerdekaan negara.

Setiap stesen mempunyai penceritaan dan sejarah tersendiri yang berlaku di kawasan terbabit, misalnya pengisytiharan kemerdekaan negara ketika itu berlangsung di Stadium Merdeka. Pihak arkitek dan jurutera menampilkan elemen tersebut di Stesen Merdeka.

Ini bertujuan bagi rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak mengenali sejarah yang terdapat di kawasan itu. Setiap reka bentuk stesen berlainan contohnya stesen bawah tanah di Pasar Seni, Muzium Negara dan Bukit Bintang

Syarikat Veritas Design Group dan pihak Mass Rapid Transit Corporation bekerjasama rapat dan berkongsi idea bagi melaksanakan projek tersebut.

Selain empat stesen bawah tanah yang dilaksanakan, syarikat itu turut mereka bentuk lapan buah stesen lain arah selatan dan sebuah depoh di Kajang.

Stesen Muzium Negara pula menampilkan paparan imej evolusi pengangkutan awam negara bermula daripada beca, bas dan keretapi lama yang mengimbau nostalgia.

Stesen Bukit Bintang turut memberi elemen dinamik dan kemeriahan suasana perniagaan di kawasan tersebut selain meng­hubungkan pusat beli-belah utama ibu kota.