Kita juga berusaha menyiapkan pewartaan tanah rizab Melayu di Gombak dan setakat ini 65 peratus kawasan tersebut telah diwartakan.

Isu lain yang turut diberi perhatian adalah pengawalan terhadap kerja-kerja penebangan, pembersihan dan pemotongan pokok, bukit dan anak-anak sungai yang boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan banjir kilat.

Datuk dilihat tegas dalam menangani isu pencerobohan tanah, apakah ke­giatan ini serius?

Kegiatan tersebut memang serius kerana ada sindiket penjualan tanah-tanah kerajaan yang tidak sah, seolah-olah wujud ‘pejabat tanah’ di kedai-kedai kopi.

Pencerobohan ini memberi kesan buruk kepada alam sekitar, sebagai contoh banjir kilat di Universiti Islam Antarabangsa dan kawasan sekitarnya baru-baru ini. Kegiatan sama yang dilakukan tanpa mengikut spesifikasi juga menyebabkan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dan Ampang.

Oleh itu, PTD Gombak tidak akan bertolak ansur dan mengambil tindakan mengikut undang-undang. Ini termasuk terhadap pemaju yang memajukan tanah pertanian tanpa menukar syarat dan status tanah sehingga menyebabkan kerajaan negeri kerugian ratusan juta ringgit.

Difahamkan pendekatan yang digunakan Datuk telah mengundang kemarahan sesetengah pihak?.

Sudah tentu ada yang kurang senang,­ namun saya mengambil pendekatan berjumpa dan berbincang dan memberi penerangan sebenar mengenai sesuatu kesalahan kepada pihak yang terlibat. Selepas itu kita akan beri tempoh sesuai sebelum sesuatu tindakan seterusnya diambil.

Tindakan juga dibuat mengikut garis panduan dan undang-undang yang sepatutnya. Setakat ini saya tidak menerima sebarang ancaman terhadap usaha menangani pelbagai isu berkaitan tanah, mungkin kerana pendekatan tegas tetapi berhemah yang diamalkan.

Bagaimana pula dengan kebanjiran warga asing terutama dari Indonesia yang mendiami tanah di sekitar Gombak?

Kebanjiran warga Indonesia disebabkan sikap warga tempatan sendiri. Pemilik tanah menjual atau menyewa beli tanah mereka kepada warga asing untuk tujuan membina rumah. Ini turut melibatkan tanah rizab Melayu.

PTD Gombak bertanggungjawab dalam menguruskan kira-kira 65,000 hektar tanah, bagaimana kerjasama yang diterima daripada pihak berkuasa lain?

Gombak bersempadan dengan Kuala Lumpur dan di dalam daerah ini terdapat dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan PBT tersebut dalam menguruskan masalah rakyat di kawasan tersebut. Kerjasama juga dijalinkan de­ngan ketua-ketua kampung, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkaitan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik.

Datuk berpuas hati dengan pencapaian setakat ini dan apa rancangan pada masa akan datang?

Saya masih belum berpuas hati. Masih banyak yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, saya menyasarkan hasil cukai tanah yang maksimum, walaupun kita telah mencapai kutipan hasil tanah tertinggi di Selangor selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2011,1012 dan 2013.

Sudah tentu saya mahu mening­katkan mutu perkhidmatan dan menyelesaikan masalah yang timbul secepat mungkin dengan cara berkesan.

Saya juga mahu memperkasakan pihak penguatkuasaan agar menjadi lebih dinamik, berhemah dan berpengetahuan dalam menangani isu pencerobohan tanah, masalah curi pasir, pencemaran alam sekitar dan lain-lain lagi.

Apakah halangan yang perlu diatasi supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik?

Cabaran utama penjawat awam kerajaan ialah sikap mudah rasa selesa dengan khidmat yang diberikan kepada orang ramai selain kurang membaca serta mengambil tahu perkembangan semasa. Ini penting kerana ia akan menentukan keberkesanan kualiti kerja masing-masing.

Selain itu, saya berpegang kepada prinsip mereka yang ingin meningkatkan prestasi, perlu ada ketelusan, sifat amanah, integriti, akauntabiliti dan bermaruah dalam menjalankan tugas.