Masalah kekurangan parkir yang semakin kritikal di kawasan kediamannya bukan sahaja me­nimbulkan rasa marah bahkan se­ring menyebabkan dia kelam kabut untuk ke tempat kerja.

Setiap pagi juga dia terpaksa menolak satu persatu kenderaan yang diletakkan secara berlapis untuk mengeluarkan keretanya. Ada masanya dia terpaksa me­nunggu berjam-jam sementara pemilik mengalih ken­deraan.

Lebih menyedihkan, ruang parkir yang semakin sendat dan terhad itu menyebabkan kende­raan penduduk kerap mengalami kerosakan akibat bergesel antara satu sama lain.

Selepas waktu kerja, masalah yang sama terpaksa ditempuhi semula oleh Salahuddin untuk meletakkan kenderaan. Kadang-kala langsung tiada ruang sehingga terpaksa memilih tempat di bahu jalan.

Jika bahu jalan juga penuh, dia terpaksa menapak kira-kira dua kilometer untuk parkir berhampiran kawasan masjid.

Masalah yang dihadapi Salahuddin itu adalah sebahagian daripada kesulitan yang dihadapi ribuan penghuni kediaman pangsapuri di negara ini.

Namun isu kekurangan tempat letak kenderaan yang dihadapi sejak sekian lama terutama di kawasan PPR dan Perumahan Awam (PA) kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bukan lagi isu baharu.

Pengumuman kerajaan pada tahun lalu mengenai pembinaan parkir bertingkat bagi menyelesaikan masalah itu di 13 kawasan parlimen juga masih lagi kabur kerana tiada satu pun yang beroperasi walaupun ada yang telah siap dibina.

Buat masa ini, semua parkir bertingkat yang menempatkan kira-kira 400 petak letak kende­raan dan dilengkapi kemudahan seperti surau, dewan serba guna, gelanggang dan medan selera itu hanya mampu dipandang oleh penduduk.

Sehubungan itu, orang ramai mahu kerajaan menyegerakan kebenaran menggunakan kemudahan itu bagi mengurangkan masalah parkir yang membe­lenggu warga kota sejak sekian lama.