Musibah banjir itu diburukkan lagi apabila air dari sungai di Tampin, Negeri Sembilan turun ke Gadek, Alor Gajah dan kemudian mula memenuhi kawasan saliran di sekitar Alor Gajah dan Melaka Tengah menyebabkan paras air sungai meningkat, tidak mampu menampung lalu melimpah sehingga membanjiri beberapa kawasan.

Tujuh buah pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa dibuka di Alor Gajah iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jelatang, Balai Raya Kampung Gadek, Sekolah Kebangsaan (SK) Lesung Batu, Balai Raya Kampung Panchor, Balai Raya Seri Jeram, Balai Raya Kampung Beringin dan SK Belimbing Dalam, manakala sebuah PPS dibuka di daerah Melaka Tengah iaitu di Balai Raya Kampung Tanah Merah.

Apa pun, pujian harus diberikan kepada semua agensi keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagi mangsa banjir, musibah kali ini dianggap antara yang terburuk pernah melanda kawasan kediaman mereka sejak dua tahun lalu kerana paras air kali ini agak luar biasa iaitu naik sehingga ke paras bumbung rumah.

Salah seorang mangsa, Rosli Taib, 60, menyifatkan banjir kali ini agak mengejutkan kerana paras air naik mendadak dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

“Sewaktu saya sedang berkemas pada tengah hari Isnin, saya terdengar bunyi arus kuat se­perti tsunami, tidak sampai setengah jam kemudian air mula naik mujurlah kami semua sempat menyelamatkan diri ke pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas banjir itu surut baru-baru ini.

Dia yang merupakan nelayan di Kuala Merlimau membe­ritahu, segala peralatan rumah termasuk barangan elektrik, perabot dan pakaian tidak dapat diselamatkan namun bersyukur kerana keluarganya sempat dipindahkan ke PPS di SK Belimbing Dalam.

Selama seminggu, 1,081 mangsa banjir ditempatkan di PPS dan segala kemudahan dan bantuan lengkap disediakan oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah sebaik sahaja banjir kembali pulih, operasi pembersihan dilakukan segera mangsa dengan bantuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang menyumbang khidmat bakti mereka membantu membersihkan rumah penduduk adalah sukarelawan dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Masjid Tanah; Kolej Matrikulasi Melaka dan Pertubuhan Prihatin Malaysia (MyConcern) melibatkan sejumlah 80 orang.